Stres adalah tindak balas emosi, fizikal dan mental akibat perubahan dalam sesuatu keadaan yang berlaku dalam kehidupan manusia. Stres merangkumi beban, tekanan, kebimbangan, keletihan, konflik, panik, kemurungan dan tidak bermaya.

Kita sering memandang ringan tentang stres namun tahukah anda stres juga boleh membawa kepada maut? Kegagalan menangani stres boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat mahupun individu. Stres mampu melemahkan sistem imun tubuh kita yang akhirnya membawa kepada penyakit-penyakit berbahaya seperti kanser dan sakit jantung. Stres boleh membunuh, maka jangan biarkan ia membunuh anda mahupun orang yang anda sayangi.

Justeru, gejala stres perlulah diatasi dengan segera agar kita tidak menjadi mangsa yang seterusnya. Jadi, apakah cara untuk mengatasi gejala ini? Berikut merupakan cara-cara mengatasi stres:

1. Pemakanan yang betul
Pemakanan yang betul dan mengikut masa membantu dalam memberikan tenaga bagi menghadapi aktiviti seharian. Selain itu, mengambil diet yang seimbang juga penting untuk menjamin tubuh mendapat zat yang diperlukan. Justeru, pastikan anda mengambil makanan yang menyumbang kepada kesejahteraan tubuh badan kita seperti protein, vitamin, asid folik dan mineral.

2. Jangan membebankan diri
Bercita-cita tinggi merupakan kualiti yang positif namun mampu membawa kepada kesan yang sebaliknya sekiranya ia melebihi kemampuan diri. Justeru, kita perlulah berpada-pada dalam melaksanakan tugas. Contohnya, membahagikan tugas yang boleh diselesaikan segera dan tugas yang lebih besar. Oleh itu, tubuh dan minda kita lebih ringan dan senang.

3. Berehat
Tidur dan rehat yang cukup amat penting terhadap kesihatan mental dan fizikal. Selepas bekerja seharian, pastikan tubuh anda mendapat rehat yang sewajarnya. Mendengar muzik, melakukan hobi atau mengambil masa bersendirian untuk merehatkan minda dari kerja yang lelah akan membantu kita pada jangka masa yang panjang.

4. Berinteraksi dengan famili dan rakan
Sebagai seorang manusia wajarlah kita memerlukan sokongan daripada insan lain. Dengan itu, meluangkan masa bersama famili dan rakan-rakan dapat mengurangkan kerungsingan minda. Malah, kita juga dapat berkongsi dan meluahkan masalah agar dapat membina semula pandangan positif terhadap sesuatu.

Jujurnya, kaedah-kaedah ini mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah stres secara menyeluruh. Namun adalah penting untuk kita berusaha dalam mengurangkan risiko gejala ini. Seseorang perlulah mempunyai kawalan terhadap hidupnya bagi melindungi diri dan kesihatan. Ingatlah untuk menyayangi diri dan menanamkan minda yang positif.

Credit : https://k10.upm.edu.my/artikel/stres_apakah_stres_kesan_dan_cara_mengatasinya-59721